Pengumuman

Tiada pengumuman terbaru

Thursday, 26 May 2011

Menyelami & Memahami al-Quran

 

clip_image002

 

“Al-Quran adalah kitab Allah yang mengandungi sejarah umat sebelum kamu, berita umat sesudah kamu, kitab yang memutuskan urusan-urusan di antara kamu, yang nilainya bersifat pasti dan mutlak. Mana-mana orang derhaka meninggalkannya, pasti Allah memusuhinya. Sesiapa yang mencari petunjuk selain Al-Quran, pasti tersesat. Al-Quran adalah tali Allah yang sangat kuat, peringatan yang bijaksana, dan jalan yang sangat lurus.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Wahai saudaraku, teruslah kita berada di atas sejadah. Biarkan lelehan tangis tahujud mengering, menambah kesegaran kulit muka. Sekarang, ambillah Al-Quran. Selami kata-kata hikmah yang terpancar dalam mukjizat terbesar sepanjang zaman ini. Ia adalah samudera ilmu tidak bertepi dan lautan hikmah tidak terperi. Biarkan ia membimbing kita menemukan ketenangan, melahirkan kebaikan dan meningkatkan peradaban. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W selepas solat tahajud.

Rasulullah S.A.W mengingatkan, “Sesiapa yang mencari petunjuk selain Al-Quran, pasti tersesat.” Ini bermakna, kita perlu belajar Al-Quran secara sistematik, maknanya diungkap, kandungannya diselami dan dijadikan pedoman dalam kehidupan. Al-Quran perlu didekati secara emosional. ‘Perasaan’ perlu terlibat dalam usaha menyelami makna terdalam dan hikmah tertinggi yang dimiliki oleh Al-Quran. Bahkan sekiranya perlu, kita mendekatinya sambil menangis, seperti yang ditegaskan oleh Allah, “Dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah yang maha pemurah kepada mereka, mereka menyungkur, bersujud dan menangis,” (Surah Maryam, ayat 58).

Mengapa dalam ayat di atas menyatakan “mereka menangis”? Kerana mereka dapat merasakan betapa besar nikmat Allah dan kasih sayangnya. Salah seorang isteri Rasulullah S.A.W, Ummu Salamah menceritakan yang dia kehilangan Rasulullah S.A.W di tengah malam. Dalam kegelapan malam, dia menemui Rasulullah S.A.W di salah satu sudut rumah. Rasulullah S.A.W sedang menangis sambil terus memohon ampun kepada Allah. Melihat kejadian itu, Ummu Salamah turut menangis. Dia berkata, “Sekiranya Rasul yang mulia menangisi dosa-dosanya, padahal Allah mengampuni segala dosa-dosanya, apalagi orang seperti saya?”

Apabila kita lebih teliti menadaburi Al-Quran, ternyata yang kita tidak hanya diminta supaya beriman dan bertakwa, tetapi kita juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan teknologi bagi membangunkan umat dan peradaban. Allah menjelaskan, “...Allah meninggikan martabat orang beriman dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat,” (surah Al-Mujadilah, ayat 11).

Berdasarkan ayat di atas , kedua-dua darjat itu (beriman dan berilmu) sepatutnya berlaku secara seiring. Walaupun pada kenyataanya, ramai di antara kita yang hanya beriman sahaja tetapi tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang mencukupi. Ataupun sebaliknya, kita begitu ghairah melakukan penyelidikan berkenaan sesuatu bidang ilmu pengetahuan tetapi langsung tidak berakar dan bertunjangkan dengan keimanan. Sebenarnya harapan kita memahami Al-Quran adalah supaya kita dapat meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat. Allah berfirman “Ya tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada seksa api neraka,” (Surah Al-Baqarah, ayat 201)

Namun yang pasti, bagi saat ini, meningkatkan tabiat membaca adalah kata kunci yang bersifat mutlak bagi kita meraih kemajuan danclip_image002[12] mengubah peradaban. Maknanya kita tidak perlu bersusah payah melakukan penyelidikan mengenai perkara-perkara yang sebenarnya sudah pun diselidik oleh para ilmuan Islam ataupun bukan Islam semasa era klasik, pertengahan ataupun era moden. Apa yang perlu kita lakukan adalah membaca, termasuk membaca fenomena alam yang Allah hamparkan bagi dipelajari. Bukankah tradisi membaca dan penyelidikan ilmiah dilakukan oleh nama-nama besar seperti al-Khindi, al-Biruni, al-Khawarizmi, Ibn Sina, Ibn Rusyd? Tetapi kenapa tradisi membaca yang dimulakan oleh ulama kita diteruskan oleh ilmuan seperti Copernicus, Kepler, Newton, Laplace, Gauss, Maxwell, Planck, Schrodinger, Feynman, Einstein dan juga Stephen Hawking?

Mari kita terus salami Al-Quran dengan menjawab satu soalan. Di dalam Al-Quran, terdapat surah An-Naml yang bermaksud semut. Kenapa Allah pilih serangga seperti semut dan bukannya makhluk lain? Apa pelajaran yang boleh kita dapat daripada surah semut itu? Apa keistimewaan semut? Ia hanya makhluk kecil yang boleh membuat kita berasa gatal dan sakit. Sekiranya surah An-Nahl, atau madu, kita sudah tahu akan khasiatnya. Begitu juga dengan haiwan lain seperti labah-labah (Al-Ankabut), lembu (Al-Baqarah), gajah (Al-Fil) dan kuda perang (Al-‘Adiyat). Kita juga masih lagi boleh faham kenapa Allah berbicara perihal nyamuk (Al-Ba’udhah) dalam Surah Al-Baqarah. Tetapi, apa yang ada pada semut?

Jawapannya adalah, pertama, komuniti semut mempunyai sistem ataupun struktur kemasyarakatan yang lengkap dengan pembahagian tugas. Kedua, masyarakat semut mengenal sisitem peperangan kolektif. Ketiga, semut mengamalkan system penghambaan di mana telur-telur semut yang tewas boleh diambil sebagai ‘harta rampasan perang’. Apabila telur-telur itu menetas, anak-anak semut menjadi hamba kepada kumpulan semut yang menang. Keempat, semut mengamalakan system pembiakan dengan cara penternakan. Kelima, semut mempunyai sistem navigasi yang baik. Jadi, jelaslah semua sifat dan tabiat semut member inspirasi kepada dunia manusia, sama ada dalam dunia social, kemasyarakatan, ekonomi, pertahanan dan juga kehidupan.

Akhir sekali, kita haruslah bersyukur kerana kita hidup di bawah naungan Al-Quran. Kita boleh diibaratkan sebagai manusia yang sangat untung, hingga makhluk lain tidak mampu memegang amanah Al-Quran ini. Allah menjelaskan, “Sekiranya Kami turunkan Al-Quran kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah-belah kerana takut pada Allah. Perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir,” (Surah Al-Hasyr, ayat 21)

No comments:

Post a Comment